Home » » #TPPA : Hak Bumiputera & Kedaulatan Negara Tidak Digadai

#TPPA : Hak Bumiputera & Kedaulatan Negara Tidak Digadai

Teks akhir Peijanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam mengesahkan kerajaan tetap memelihara hak Bumiputera dan menjamin kedaulatan negara.

Antaranya, ia terus mengekalkan keutamaan sedia ada kepada Bumiputera serta pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Berdasarkan teks yang dimuat naik dalam laman web MITI dan boleh diakses oleh rakyat itu, fleksibiliti diberikan berhubung hak Bumiputera dalam pemerolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan (SOE) dan langkah yang belum dipersetujui (NCM).

Dari segi pemerolehan kerajaan, fleksibiliti yang diberikan ialah 30 peratus diperuntukkan untuk kontraktor Bumiputera dalam perkhidmatan pembinaan. Ia mencerminkan Perlembagaan dan dasar Bumiputera terus terpelihara dalam perjanjian berkenaan.

Selain itu, pembekal dan pekilang Bumiputera terus menikmati harga keutamaan bagi barangan dan perkhidmatan serta kontrak pusat untuk item sedia ada.

Fleksibiliti juga terpakai untuk semua SOE dalam memberikan keutamaan kepada Bumiputera sehingga 40 peratus, termasuk pembangunan syarikat PKS dan serantau daripada pembelian tahunan mereka.

Kekalkan dasar semasa

Dari segi NCM pula, Malaysia mungkin mengekalkan dasar semasa dari menggunapakai dasar baharu untuk Bumiputera menerusi kewujudan permit atau lesen tambahan dan baharu untuk sektor pelaburan dan perkhidmatan.

Dasar berkenaan dilihat tidak akan menjejaskan hak pelabur dari negara anggota TPPA yang lain.

Dalam pada itu, kebimbangan yang disuarakan mengenai peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang dibimbangi menjejaskan kedaulatan negara, tidak menghalang kerajaan daripada menggubal dan melaksanakan objektif dasar awam, terutama berkaitan keselamatan negara, kesihatan awam, alam sekitar dan kebajikan.

Selain itu, ada beberapa mekanisme kawalan mengelakkan pelabur asing membuat tuntutan dan mencabar kerajaan tanpa asas yang munasabah.

Muktamad dua minggu

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata susulan hebahan teks akhir itu, dua analisis kos-faedah yang dikendalikan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan Price water house Coopers (PwC) Malaysia akan dimuktamadkan kira-kira dua minggu lagi.

"Kerajaan berharap teks akhir yang didedahkan kepada umum ini berserta dua analisis kos dan faedah akan memberikan penjelasan lebih meluas kepada rakyat mengenai perjanjian ini.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa TPPA akan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan dan bagi mendapatkan keputusan. Sesi ini dijangka diadakan pada bulan Januari atau Februari 2016," katanya.

MITI berserta beberapa agensi kerajaan lain juga akan terus mengadakan sesi penerangan dengan pihak berkepentingan.

0 comments:

Post a Comment