Home » » Hang Tuah:Figura Agungnya Laksamana Melayu

Hang Tuah:Figura Agungnya Laksamana Melayu

Lakaran Wajah Hang Tuah
Kalau tradisi masyarakat England, nama Robin Hood, King Arthur ialah legenda yang kekal mekar sebagai penaik semangat nasionalisme mereka. Kisah kebaikkan Robin Hood dan kehebatan King Arthur memimpin bersama ahli sihirnya iaitu Merlin begitu disemadikan oleh masyarakat England khususnya.

Bangsa cina juga tidak kurangnya dengan kisah seorang pemerintah yang baik hati dari zaman Tiga Kerajaan, iaitu Liu Bei pengasas kerajaan Shu. Begitu juga dengan kisah seorang jeneral perang yang sangat hebat iaitu Lu Bu yang dilabelkan tidak terkalahnya.

Setiap bangsa mempunyai hero mereka sendiri. Bangsa Melayu tidak ketinggalan. Nama Hang Tuah pasti masyur dalam setiap dada anak melayu pada hari ini. Namun, tidak semua antara kita yang mengenali siapa itu Hang Tuah. Ya, tidak semua antara kita yang mengenali siapa itu Hang Tuah.

Ketika mahu memasukkan nama beliau dalam senarai manusia Melayu yang agung dalam sejarah, saya pernah berbincang dengan admin RAD tentang hal ini. Admin RAD walaupun senada dengan saya, tetapi membangkit persoalan apakah manusia lain yang bernama Melayu hari ini mampu atau tidak menerima beliau sebagai Melayu yang agung sebab kesetiannya yang tidak berbelah bagi pada Sultan Mansur Shah, salah seorang yang menurut pendapat peribadi saya, sultan terbaik yang pernah dimiliki oleh Melaka.

Pastinya peristiwa Tuah menentang Jebat mencemarkan sedikit peribadi Tuah. Ramai antara kita sehingga hari ini masih berdebat – Tuah atau Jebat-kah yang benar? Masing-masing membawa hujah tersendiri. Hujah yang menyokong Tuah pula:

“Bukankah dalam Islam kau dilarang menggugurkan ketaatan kau pada pemimpin walau sezalim mana pun pemerintah itu sehinggalah dia menyuruh kau memalingkan ketaatan kau pada agama kau?”

Dan hujah lainnya:

“Tuah bukan menentang Jebat. Tapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa. Yang Tuah pertahankan bukan raja tapi kerajaannya. Tanpa kerajaan, takkan wujud sebuah negara. Tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa. Saya nampak usaha Tok Tuah kita agar tanah airnya takkan hilang kerajaannya. Bangsanya tidak akan hilang ketuanannya dan Melayu tidak akan hilang di dunia,”

Adapula yang menyokong Jebat membawa hujahnya:

“Jebat adalah wira dalam sejarah Melayu. Tatkala semua orang jadi lembu yang dicucuk hidung setia membabi buta, Jebat melawan arus dalam peradaban bangsa Melayu. Nak maju perlukan tindakan yang terkadang melawan norma masyarakat ketika itu!”

“Jebat adalah lambang sebuah revolusi. Jebat adalah lambang manusia yang tidak tunduk dan terus mengampu sultan seperti mana saudara-saudara seperguruannya yang lain. Jebat lambang melawan ampu!”

Begitulah hujah-hujah yang dibawa oleh mereka yang menyebelahi Hang Tuah dan Hang Hebat. Siapa yang benar atau salah, bagi saya ianya adalah terlalu subjektif untuk kita bicarakan. Baik, selepas pengenalan ringkas tentang Hang Tuah, izinkan saya melangkah lebih jauh untuk menerangkan dua bahagian siri artikel ini. Pertama, artikel ini akan bercakap tentang sisi heroic/Pendekar Hang Tuah, manakala siri kedua akan bercakap tentang sisi intelektual Hang Tuah itu sendiri.

1. Sisi Pendekar/Heroic

Banyak sebenar sisi pendekar yang harus kita banggakan oleh kita dalam membicarakan tentang Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah ialah pendekar Melayu yang dicatatkan dalam sejarah sebagai seorang pendekar yang hebat. Hang Tuah dikatakan menuntut ilmu persilatan dengan ang Aria Putera di Bukit Pancalusa dan juga berguru dengan Sang Persata Nala di Gunung Wirana Pura.

Hang Tuah menunjukkan bahawa beliau ialah seorang pendekar yang hebat sejak kecil lagi. Percaya atau tidak, ketika usianya 10 tahun, dicatatkan bahawa Hang Tuah berlayar bersama rakan-rakannya ke Pulau Tinggi sebelum bertemu dengan lanun yang menguasai pulau itu. Maka Hang Tuah dan para sahabatnya pun bertempurlah dengan lanun-lanun tadi, dan hebatnya, pada usia 10 tahun itu. Hang Tuah dan para sahabat berjaya menewaskan lanun tadi.

Aksi pendekar Hang Tuah itu diperhatikan oleh Penghulu Singapura lalu dilaporkan pada Bendahara Raja. Diceritakan juga selepas kembali berguru dengan Sang Persata Nala, maka Hang Tuah pun dicatatkan menghentikan orang mengamuk lalu dari kejayaannya itu membolehkan Hang Tuah menjadi Biduanda Raja.

Bermula dari peristiwa inilah, betapa Hang Tuah bermula menjadi seorang pendekar Melayu yang sangat hebat bertempur. Antara kehebatan Hang Tuah yang dicatatkan dalam sejarah itu sendiri:

a.) Menewaskan 70 Orang Mengamuk Yang Diupah Oleh Patih Gajah Mada

Patih Gajah Mada tahu bahawa kekuatan militari Melaka adalah terletak di tangan Hang Tuah dan para sahabat yang sangatlah tinggi ilmu persilatannya. Lalu, antara cara Majapahit untuk mengusai empayar Melaka yang luas yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah, maka satu-satunya cara adalah membunuh Hang Tuah sendiri. Biar mati pendekar itu, maka kegemilangan Majapahit yang dibayangi dek Melaka itu akan runtuh.

Maka sejarah pun berceritalah kepada kita bagaimana Patih Gajah Mada mengarahkan agar 70 orang untuk mengamuk di pasar dan mengamuk di pasar dengan merampas harta benda dan membunuh sesiapa sahaja. Untuk menghapuskan orang mengamuk itu, Betara Majapahit berpura-pura meminta bantuan Raja Melaka. Hang Tuah bersama Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu telah dapat membunuh orang-orang mengamuk itu. Lain yang dirancang, lain pula jadinya menunjukkan betapa Hang Tuah bukanlah calang-calang pendekar.

b.) Hang Tuah dan para sahabat menewaskan 1000 orang upahan Majapahit

Kehadiran Hang Tuah dan para sahabatnya di Majapahit memang sentiasa menimbulkan perasaan tidak senang dalam hati Patih Gajah Mada sendiri. Maka, pelbagai rancangan untuk membunuh Hang Tuah dirancangkan namun semuanya tidak berjaya. Dan untuk membalas dendam kepada segala perbuatan jahat Patih Gajah Mada terhadapnya, maka Hang Tuah telah menceroboh masuk ke dalam taman larangan di dalam Istana Majapaht lalu bersukaria di dalam taman itu dengan para sahabatnya.

Mendapat tahu akan peristiwa itu, maka Patih Gajah Mada menghantarkan askar dalam jumlah 1000 orang untuk menangkap dan menggempur Hang Tuah dan para sahabatnya yang lain. Sekali lagi, ilmu pendekar Hang Tuah dan para sahabatnya diuji. Dan hebatnya, betapa 1000 askar yang dihantar oleh Patih Gajah Mada itu bukanlah tandingan Hang Tuah dan para sahabatnya.

Selepas itu, Hang Tuah memberi alasan bahawa dia tidak mengetahui bahawa taman tempat dia dan para sahabat bersuka-ria semalam adalah sebuah tempat larangan ketika Raja Melaka menghadapi bentara Majapahit. Bentara Majapahit merasa malu dengan segala usaha untuk menggugurkan nyawa Hang Tuah di buminya semua berhasil dengan kegagalan. Lalu… untuk menutup malu itu, Bentara Majapahit memberi alasan bahawa tidak ambil kisah sangat dengan apa yang berlaku.

Sempat juga sebelum pulang ke Melaka, Hang Tuah melontarkan janji kepada Sultan Melaka, kalau nanti sesuatu terjadi pada rombongan mereka, Hang Tuah sendiri akan memimpin bala askar Melaka lalu meruntuhkan Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa.

c.) Hang Tuah Menewaskan Samurai (Ronin?) Jepun

Betapa sebenarnya Hang Tuah bukanlah pendekar kekampungan, sebaliknya ilmu bela dirinya teruji bertempur dengan pelbagai pengamal seni bela yang terkenal yang lain. Antara kisah yang sangat terkenal adalah Hang Tuah vs Samurai Jepun.

Di bawah ada dipamerkan petikan daripada manuskrip Hikayat Hang Tuah itu sendiri tentang pertempuran antara Hang Tuah dan Samurai Jepun.

“Berapa lama-nya Laksamana dudok di-benua Siam itu, sa-kali persatua, maka Phra Chau pun bertitah, `Hai Oya Bagelang, mana dia pendekar Jepun yang bernama Chin Chu itu?`

Maka sembah Oya Bagelang, `Ada, tuanku, pendekar itu, dari Kemboja datang, terlalu mashhor. Jika sa-puloh, bukan lawan-nya. Maka titah Phra Chau, `Segera panggil pendekar Jepun

Maka titah Phra Chau, `Hai pendekar, engkau aku titahkan bermain pedang dengan utusan Melayu ini.`

Maka kata Jepun itu, `Berapa puloh orang Melayu itu? Jika sa-orang dua bukan lawan patek.` Hang Tuah sebagai `Hulubalang Melayu` tiada dapat mendengar kata-kata yang keji di-tengah majlis lalu menyambut cabaran pendekar Jepun dengan berkata:

`Cheh! Hendak berdusta pula. Bicara kamu ini empat lima berdiri pun tiada endah padaku!

Maka pendekar Jepun itu pun turun ka-tanah menghunus pedangnya serta dengan amarah-nya, beberapa dilarang oleh hulubalang Siam tiada di-dengarnya. Phra Chau ( Raja Siam) sendiri lalu larang-nya . Maka ia pun berseru2, katanya,

`Hai Melayu, turun-lah engkau! Jika tiada turun supaya ku-naiki balairong ku-tendas kepala-mu.

Maka kata Laksamana,

`Hai si-Kafir yang keras hati-mu, apa engkau hendak perbuat, perbuat-lah oleh-mu.`

Sa-telah pendekar itu melihat Laksamana sudah turun, maka segera di-parang-nya. Maka Laksamana pun melompat hendak menangkis parang-nya itu, kerana (pendekar Jepun) memarang dengan dua belah tangan-nya.

Sa-telah lalu, di-parang pendekar itu, maka di-parangnya oleh Laksamana telinga-nya, putus terpelanting ka-tanah maka Laksamana pun segera melompat naik ka-atas balairong itu. Maka orang pun hairan pantas Laksamana itu.

Sa-telah pendekar itu melihat telinga-nya putus itu, makin bertambah marah-nya dan malu-nya lalu di-usirnya akan Laksamana hendak naik ka-balairong itu. Maka Laksamana pun segera terjun di-atas balai berhadapan dengan Jepun itu pula.

Maka di-parang oleh Jepun itu, di-salah-nya (dielak) oleh Laksamana, serta di-parang-nya hidung pendekar itu, putus. Maka Laksamana melompat naik ka-atas balairong itu pula. Maka di-rasa-nya oleh pendekar itu hidong-nya putus, maka lalu di-usir-nya, maka hendak di-naiki ka-balairong itu. Maka Laksamana pun terjun pula berhadapan dengan jepun itu, lalu di-parang-nya Jepun, bahu-nya pun putus gugor ka-tanah. Maka jepun itu pun mengusir pula dengan bersunggoh2 hati-nya, maka diparang pula oleh Laksamana kepala-nya belah dua.”

(Petikan daripada Hikayat Hang Tuah)

d.) Hang Tuah Melawan Pendekar India

Di dalam Hikayat Hang Tuah,kononnya Hang Tuah telah berlayar ke beberapa negara dan seringkali mempamerkan seni silatnya dan menewaskan ahli beladiri negara atau kerajaan yang dilawatinya.

Menariknya,sejarah Hang Tuah melawat Vijayanagara,salah satu empayar terhebat dalam sejarah India telah dicatatkan dalam sejarah malah direkodkan dalam sebuah drama sejarah! Drama sejarah ini berdasarkan buku The Discovery of India oleh Jawaharlal Nehru, perdana menteri India yang pertama.

Hang Tuah sebenarnya datang ke India dan berkhidmat kepada Deva Raya II (1424-1446) iaitu pemerintah kepada Empayar Vijayanagara. Ini adalah sesuai dengan catatan sejarah oleh sarjana India sendiri.

Hang Tuah telah ditawarkan berkhidmat sebagai jurulatih seni bermain pedang untuk tentera Empayar Vijayanagara.Empayar pada masa ini memerintah keseluruhan selatan India seperti Andhra Pradesh,Karnataka,Tamil Nadu dan Kerala.

Semua kerajaan-kerajaan klasik selatan India seperti Pandya,Hoysala apatah lagi Chola,semuanya sudah lenyap dan wilayah-wilayah mereka dijajah oleh Vijayanagara.

Dalam sejarah Hang Tuah di Vijayanagara menurut sarjana India, Hang Tuah telah menawarkan untuk mencabar mana-mana pahlawan dalam empayar itu.Emperor membawa pahlawan terbaik,Putera Virabhadra,anak raja Kalinga-Utkal dari dinasti Gajapati yang bernama Gajapati Prataprudra Deva

Hang Tuah telah berlawan menggunakan senjata dengan pahlawan ini dan akhirnya dikalahkan oleh Hang Tuah tanpa apa-apa kecederaan.Ini membuatkan Putera Virabhadra malu dan akhirnya membunuh diri.

Ini dapat dilihat dalam petikan daripada Hikayat Hang Tuah yang seolah-olah menyamai daripada drama India dan juga buku karangan Jawaharlal Nehru:

“..Titah baginda ( Raja negeri Bijaya Nagaram-Benua Keling-India sekarang), `Hai Laksamana, tahu-kah engkau bermain pedang perisai?` Maka sembah Laksamana, `Daulat tuanku, tahu juga patek barang2 kadar-nya’

Maka baginda pun menyuroh memanggil pendekar yang tahu terlalu sa-kali pada bermain pedang dan perisai. Maka titah Kisna Rayan, `Hai pendekar, engkau hendak ku-surohkan bertuju dengan Laksamana Hulubalang Melayu.` Maka sembah pendekar itu, `Daulat tuanku, berapa puloh hulubalang Melayu itu akan bertuju dengan patek? Jika sa-orang dua, bukan lawan patik.

Maka Laksamana pun melangkah pintu keluar. Maka di-lihat oleh Laksamana pendekar itu hadhir menanti dengan perisai di-luar pintu. Maka Laksamana pun segera mengambil pedang dan perisai di-luar pintu itu daripada tangan orang-nya. Maka Laksamana pun memekis serta menghunus pedang-nya, lalu melompat serta di-kirap-nya (ditangkisnya) perisai menyalahkan parang (tebasan) pendekar itu.

Setelah lalu parang pendekar itu, maka di-parang (pancung) oleh Laksamana kena perisai-nya, belah dua lalu ka-pinggang-nya. Maka Laksamana pun menyarongkan pedang-nya. Maka Nala Sang Guna ( Perdana Menteri Bijaya Nagaram) pun memegang tangan Laksamana lalu di-bawa-nya masok ka-balairong.”

(Hikayat Hang Tuah, 359-360)

2. Kebijaksanaan Hang Tuah

Hang Tuah ialah seorang pendekar Melayu yang sangat bijak. Bukan sahaja terbukti kehebatan Hang Tuah di dalam bidang pertempuran dan pergaduhan, bahkan Hang Tuah juga mempunyai akal yang sangat menakjubkan. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa contoh yang saya ambil dan petik daripada sejarah sendiri untuk kita mengambil pedoman daripadanya.

a.) Hang Tuah Mahir Lebih Daripada 12 Bahasa

Dalam Hikayat Hang Tuah, dicatatkan bahawa Hang Tuah berguru dengan pelbagai guru untuk mempelajar pelbagai bahasa demi memantapkan pengisian dirinya. Antara bahasa yang dimahiri oleh Hang Tuah ialah sudah tentu bahasa Melayu itu sendiri, bahasa Tamil, Jawa, Cina, dan banyak lagi. Betapa sesungguhnya Hang Tuah menunjukkan betapa antara tanda puncak ketamadunan bangsa Melayu itu ialah menguasai pelbagai cabang bahasa, dalam masa yang sama tidak meminggirkan bahasa Melayu itu sendiri.

b.) Hang Tuah Memperdayakan Taming Sari

Sebelum peristiwa yang berlaku seperti mana yang diceritakan oleh saya dalam menceritakan sisi kependekaran Hang Tuah, saya ada memetik tentang usaha Patih Gajah Mada dalam membunuh Hang Tuah. Sebenarnya, usaha itu bermula awal lagi ketika Sultan Melaka berkahwin dengan puteri Jawa Majapahit iaitu Raden Mas Ayu.

Dalam perkahwinan antara Sultan Melaka dan Raden Mas Ayu, ketika itulah seorang pendekar Majapahit mengamuk menyerbu ke dalam Istana Majapahit. Kemunculan Taming Sari ini adalah bertujuan untuk menguji ketinggian mana ilmu persilatan orang Melaka.

Lalu diceritakan bahawa Hang Tuah dan Taming saling bertempur antara satu sama lain. Dalam pertelingkahan itu, beberapa kali tikaman keris Hang Tuah tidak lut pada batang tubuh Taming Sari membuatkan Hang Tuah berfikir bahawa keris yang digunakan oleh Taming Sari itu mengandungi saktinya tersendiri.

Lalu menggunakan tipu helah dan kehebatan diplomasi Hang Tuah, Hang Tuah berjaya memperdayakan Taming Sari menukarkan keris dengannya. Lalu bermula dari itu, barulah Taming Sari dapat ditewaskan.

Ini menunjukkan betapa Hang Tuah ialah seorang pendekar yang sangat bijaksana dengan memperdayakan Taming Sari. Masakan tidak, dalam pertempuran yang merupakan antara hidup dan mati pun, Hang Tuah bijak berhelah.

c.) Hang Tuah Memperdayakan Maharaja China

Hang Tuah adalah seorang diplomator yang hebat sesuai dengan kehebatan bangsa Melayu yang diwarisi dari zaman berzaman. Ketika berkhidmat untuk Empayar Vijayanegara dari India, Hang Tuah mewakili empayar tersebut sebagai wakil rajanya di tanah China.

Di sana, Hang Tuah telah bertemu dengan menteri-menteri yang merupakan wakil Maharaja China dan memperkenalkan dirinya sebagai wakil Empayar Vijayanegara ketika itu. Sempat lagi menteri-menteri China itu berpesan kepada Hang Tuah bahawa antara undang-undang di negara China adalah tiada siapa pun boleh menatap wajah Maharaja China.

Hang Tuah sendiri memerhati bagaimana ketika Maharaja China diarak, maka semua menteri-menteri akan tunduk ke lantai dan tidak berani mendongak melihat wajah maharajanya. Menyedari akan hal itu, Hang Tuah yang terlalu ingin melihat wajah Maharaja China merancangkan sebuah helah.

Ketika Maharaja China menjemput Hang Tuah untuk sesi makan bersamanya, maka Hang Tuah telah memesan untuk memakan kangkung yang panjang-panjangm dan tidak dipotong. Selalunya mereka yang akan makan bersama Mahajra Chian akan menundukkan dan tidak berani mendongak.

Namun, Hang Tuah lebih bijak. Kangkung yang tidak dipotong itu membuatkan Hang Tuah terpaksa mendongak untuk memakannya. Ini membuatkan para pegawal Maharaja China tadi menghunuskan senjata mereka tepat di leher Hang Tuah namun Maharaja China yang kagum dengan helah Hang Tuah itu menyuruh mereka semua menarik niat masing-masing. Hang Tuah bukan sahaja tidak dibunuh, bahkan dihadiahkan dengan pelbagai kurniaan daripada Maharaja China dan berjaya menjalinkan hubungan antara Vijayanegara dan Empayar Ming ketika itu.

[Kesimpulan]

Sebenarnya hendak membicarakan tentang sejarah Hang Tuah ini terlalu banyak, tetapi cukuplah saya beri contoh kepada para pembaca semua untuk kita berlaku adil dalam menilai figura yang bernama Hang Tuah ini.

Dalam keburukan yang kita cuba tonjolkan untuk menanam rasa benci, terselit juga keunggulan yang dimiliki oleh Hang Tuah yang harus kita banggakan, dan antaranya ialah kehebatan Hang Tuah menonjolkan kehebatan seni bela Melayu iaitu Silat yang tidak tertanding dengan seni bela bangsa lain seperti India dan juga Jepun.

Rujukan:

1. Hikayat Hang Tuah 
2. Sulalatus Salatin

Terima Kasih ThePatriots 

0 comments:

Post a Comment