Ops Gergaji Sarawak : SPRM Beku Akaun 375 Syarikat, Individu Bernilai RM 650 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 375 akaun milik syarikat dan individu bernilai RM650 juta kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dan pembalakan haram dalam Op Gergaji Bersepadu di Sarawak, hari ini.

Operasi yang dijalankan serentak di 48 lokasi itu bermula pada pukul 9.30 pagi melibatkan lebih 400 pegawai dan anggota SPRM dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pengarah Bahagian Siasatannya, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata, serbuan berkenaan dibuat di lokasi yang disyaki berlakunya rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai.

"Serbuan ini adalah hasil siasatan terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan oleh SPRM bersama agensi terlibat seperti Kerajaan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Daripada lokasi yang diserbu itu, sejumlah 27 adalah kilang papan dan kawasan balak (logponds) manakala selebihnya premis perniagaan.

"Sebanyak 13 kawasan yang diserbu adalah di Miri, selain di Kuching (12), Sibu (12), Bintulu (enam), Bakun (tiga) dan Kapit (dua)," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Jamidan berkata, selain penyitaan akaun, pihak-nya turut merampas 700 batang kayu bernilai RM600,000 untuk tujuan siasatan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a), 17(b) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Aktiviti pembalakan haram ini mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Operasi bersepadu membuktikan komitmen padu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di dalam sektor pembalakan di samping membendung aktiviti penebangan hutan secara haram," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengakui kegiatan rasuah dalam industri pembalakan di negeri itu amat serius menyebabkan beliau tidak boleh lagi bertolak-ansur berhubung isu berkenaan.

Menurut Adenan, akibat rasuah dalam industri pembalakan, Sarawak bukan sahaja kehilangan jutaan ringgit tetapi turut mempunyai reputasi buruk di peringkat antarabangsa.

Kalimah Alllah : Berakhirkah Polimik Itu?

Mahkamah Persekutuan hari ini telah memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa majalah kristian The Herald Catholic tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Keputusan ini dilihat sebagai penamat kepada polimik kalimah Allah antara orang Islam Malaysia dengan orang Kristian.

Persoalannya adakah polimik ini akan benar - benar berakhir?

Sesetengah pendapat menyatakan bahawa kes ini dianggap selesai dan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini dihakimi oleh panel 7 orang hakim dan keputusannya adalah 4 berbalas 3 orang hakim bersetuju menolak permohonan rayuan oleh The Herald Catholic untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut yang tidak membenarkan The Herald Catholic menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Panel 7 hakim tersebut ialah Ketua Hakim Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinuddin, Richard Malanjum selaku Ketua Hakim Mahkamah Sabah & Sarawak, Suriyadi Halim Omar Hakim Mahkamah Persekutuan, Zainun Ali Hakim Mahkamah Persekutuan, serta seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Jeffrey Tan Kok Wha.

Pertelingkahan ini nampaknya sudah mencapai puncaknya dengan kegagalan The Herald Catholic dalam isu kalimah Allah ini dan pastinya ia memberi kelegaan kepada orang Islam di Malaysia.

Walau bagaimanapun, IBHH melihat isu ini tidak akan tamat disini sahaja. Asasnya kita boleh lihat dengan kehadiran begitu ramai pemerhati dari luar negara khususnya dan pastilah mereka sedang merangka strategi untuk memanjangkan kes ini ke Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu atas nama kebebasan beragama dan hak asasi manusia. Ini terbukti apabila mereka telah pun menubuhkan COMANGO dan berjaya membawa kes berkaitan Islam & Kristian di Malaysia untuk perhatian badan dunia tersebut.

IBHH juga melihat bahawa kes ini hanya melibatkan antara orang Islam dengan The Herald Catholic dalam penerbitannya.

Bagaimana dengan isu Bible Bahasa Melayu yang juga merujuk God/Jesus sebagai Allah? Isu ini sama kesnya tetapi belum dibawa ke muka pengadilan. Disinilah kita akan lihat orang Bukan Islam akan turut mengheret kes ini untuk memanjangkan polimik kalimah Allah yang bakal mencetuskan lagi ketegangan antara orang Islam dengan bukan Islam.

IBHH melihat, masyarakat yang tidak memahami isu ini akan cenderung membuat pengadilan sendiri sama ada di kalangan umat Islam mahu orang bukan Islam.

IBHH juga berpendapat isu ini akan terus dipanaskan untuk membakar sensitiviti masyarakat Islam dan bukan Islam sehingga menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak ke 11. Pihak - pihak yang berkepentingan politik akan mengaut seberapa banyak keuntungan politik demi mendapatkan undi rakyat tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang.

IBHH menyeru kepada rakyat seluruhnya, bertenanglah, jangan gadaikan masa depan anak - anak kita. Percayalah "Yang menang jadi arang, Yang kalah jadi abu".