Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 375 akaun milik syarikat dan individu bernilai RM650 juta kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dan pembalakan haram dalam Op Gergaji Bersepadu di Sarawak, hari ini.

Pengarah Bahagian Siasatannya, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata, serbuan berkenaan dibuat di lokasi yang disyaki berlakunya rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai.
"Serbuan ini adalah hasil siasatan terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan oleh SPRM bersama agensi terlibat seperti Kerajaan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Daripada lokasi yang diserbu itu, sejumlah 27 adalah kilang papan dan kawasan balak (logponds) manakala selebihnya premis perniagaan.
"Sebanyak 13 kawasan yang diserbu adalah di Miri, selain di Kuching (12), Sibu (12), Bintulu (enam), Bakun (tiga) dan Kapit (dua)," katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamad Jamidan berkata, selain penyitaan akaun, pihak-nya turut merampas 700 batang kayu bernilai RM600,000 untuk tujuan siasatan.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a), 17(b) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
"Aktiviti pembalakan haram ini mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
"Operasi bersepadu membuktikan komitmen padu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di dalam sektor pembalakan di samping membendung aktiviti penebangan hutan secara haram," jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengakui kegiatan rasuah dalam industri pembalakan di negeri itu amat serius menyebabkan beliau tidak boleh lagi bertolak-ansur berhubung isu berkenaan.
Menurut Adenan, akibat rasuah dalam industri pembalakan, Sarawak bukan sahaja kehilangan jutaan ringgit tetapi turut mempunyai reputasi buruk di peringkat antarabangsa.
0 comments:
Post a Comment