Home » » EDISI BONGKAR : Merungkai Jawapan Melayu Itu Pendatang

EDISI BONGKAR : Merungkai Jawapan Melayu Itu Pendatang

Polemik pembuktian status sebenar bangsa Melayu di Malaysia hari ini telah mewujudkan pelbagai andaian tanpa asas pembuktian kukuh bagi menolak dalil Melayu adalah orang asal di Tanah Melayu.

Dakwaan paling lemah adalah dari kalangan ahli politik yang cuba meng'ada'kan fakta pembuktian Melayu adalah pendatang dari Indonesia sekaligus menolak Melayu tidak layak di kelaskan sebagai bangsa pribumi dan menempelak asas ketuanan Melayu di Tanah Melayu. Ini telah dijawab dengan mudah, siapa yang tidak faham itu kena cari semula fakta yang terang lagi jelas.

IBHH mahu membongkarkan bahawa kajian saintifik oleh pakar telah membuktikan Melayu adalah orang asal di Malaysia ini. Mari kita ikuti hujah saintifik ini.

Forum Bicara Bestari ATMA 2015 pada 29 Januari 2015 telah merungkai dan menyediakan jawapan saintifik yang lebih kukuh bahawa Melayu adalah penduduk asal di Malaysia.

Apabila menyebut alam Melayu, kita jangan menyempitkan pemikiran dalam kolong sempadan Malaysia semata-mata.


Fahamilah bahawa alam Melayu adalah Pentas Sunda itu sendiri yang bermula dari Cham di Kemboja membawa sehingga Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Borneo (Sarawak,Sabah,Brunei & Kalimantan), Seluruh Kepulauan Indonesia, Kepulauan Filipina, Sulawesi, Irian Jaya (bersempadanan Papua New Genuine) sedikit di New Zealand, malah sehingga ke Madagascar! Ini lah alam Melayu yang wajar di ketahui dan difahami.

Melalui kajian saintifik yang dikemukan dalam Forum Bicara Bestari ini, terdapat empat asas utama digunakan iaitu kajian saintifik sejarah, penemuan arkeologi, geografi dan budaya rakyat.

Forum ini membongkarkan bahawa bukti kajian Mitochandrial DNA (mtDNA) menunjukkan persamaan genetik antara orang Melayu dengan Orang Asli Semang serta wujud perbezaan genetik antara orang Melayu dengan orang China. Ini sekaligus menolak dakwaan teori Melayu itu pendatang!

Kajian genetik oleh Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama University Oxford dan University Leeds menunjukkan mtDNA Melayu lebih tua usianya berbanding orang China di Tanah Besar China.

Pengarah Penyelidikan, Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia( USM) Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, menyatakan bukti mtDNA orang Melayu berusia kurang lebih 50,000 hingga 60,000 tahun iaitu 15,000 tahun lebih tua berbanding orang di China. "Kajian ini merumuskan pergerakan manusia dari Tanah Besar China bermula dari bahagian selatan membawa ke bahagian utara China selepas berlaku bencana banjir besar di pentas Sunda bukannya sebaliknya seperti yang sering didakwa."

Beliau menambah lagi, bukan sahaja bukti mtDNA di selatan China lebih muda berbanding dengan kepulauan Melayu, tetapi penemuan arkeologi juga membuktikan kehidupan telah bermula sekitar 40,000 tahun dahulu di kepulauan Melayu. Baca juga artikel Kapal Purba Kedah Tua Di Sungai Batu Perlu Diselamatkan!  

Dr Zafarina juga berkata, bukti mtDNA adalah tepat kerana ia diwarisi turun temurun dari generasi ke generasi dan sukar untuk 'terputus' melainkan berlaku bencana besar yang menyebabkan kepupusan keseluruhan populasi. DNA terdapat dalam semua sel badan dan boleh didapati dari sel biologi seseorang sama ada hidup atau yang telah mati. Malah DNA boleh kekal dalam jangka masa panjang sehingga ia boleh diperolehi dari sampel fosil yang disimpan dengan baik.

Kajian USM bersama University Oxford dan Leeds juga mendapati hasil yang senada bahawa populasi peninggalan paling tua di dunia adalah peninggalan Orang Asli Semang di Semenanjung.

Menurut Dr Zafarina juga, apabila menjalankan kajian berkenaan DNA, mereka menemui sesuatu yang hampir sama dalam DNA orang Melayu dengan Orang Asli Semang. Ini jelas membuktikan kedua-dua masyarakat ini hidup dalam rumpun yang sama di kepulauan Melayu ini.

Pembuktian persamaan DNA antara orang Melayu dengan Orang Asli Semang ini membolehkan kita menolak teori kedatangan orang Melayu adalah dari Yunnan dan Taiwan. Pergerakan keluar dari Taiwan hanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun yang lalu. Suatu tempoh masa yang sama sekali bercanggah dengan pembuktian kewujudan Melayu di kepulauan Melayu ini.

Sebelum ini kita banyak diajar bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan, China dan ini diperkukuhkan dengan teori 'Out of Taiwan' yang dipelopori oleh Peter Bellwood dalam tulisan nya 'Taiwan and the Prehistory of the Austronesians-Speaking People' 1998.

Bellwood mendakwa, 4,000 tahun dahulu orang Melayu-polynesia bergerak keluar dari Selatan China melalui Taiwan ke Asia Tenggara seterusnya ke kepulauan Pasifik dan Madagascar.

Ternyata teori Out of Taiwan oleh Bellwood sangat bercanggah dengan bukti saintifik dan kajian arkeologi yang dilakukan oleh Dr Stephen Oppenheimer yang mendapati kewujudan Melayu adalah lebih dahulu berbanding pergerakan manusia dari selatan China.

Dr Oppenheimar menghujahkan, sekitar 16,000 tahun dahulu Asia Tenggara adalah kawasan luas tanah besar yang dipanggil Sundaland atau Pentas Sunda. Kemudian pada akhir Zaman Ais, benua Sunda ditenggelamkan banjir besar akibat kenaikan paras air laut. Hanya beberapa kepulauan Melayu yang berada di atas paras air laut. Maka sebahagian yang sempat bergerak keluar hingga ke pulau Pasifik Selatan, ke timur dan ke Madagascar. Maka yang kekal tinggal di kepulauan Melayu yang kita nampak hari ini adalah penduduk asal di kepulauan Melayu termasuklah orang Melayu.

Kesimpulannya, bukti DNA , penemuan bahan arkeologi dan hasil kajian saintifik hari ini telah menolak teori kedatangan orang Melayu dari selatan China sekali gus membuktikan orang Melayu yang wujud di Malaysia hari ini adalah orang asal di tanah ini.   

0 comments:

Post a Comment