![]() |
Rencana ini ditulis oleh Azril Mohd Amin iaitu seorang peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA). |
Isu Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) terus diselubungi jerebu kerahsiaan, walaupun dikhabarkan memasuki pusingan terakhir rundingan peringkat menteri-menteri perdagangan di Atlanta, Georgia dari 30 September hingga l Oktober baru-baru ini.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, giat mendesak kemasukan peruntukan Penyelesaian Pertikaian Antara Pelabur dengan Kerajaan (ISDS) ke dalam perjanjian antarabangsa seperti perjanjian Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Rentas Atlantik dengan Kesatuan Eropah (EU) dan khususnya TPP dengan sebelas negara lain sekitar Lautan Pasifik, termasuklah Malaysia.
Peruntukan ISDS membenarkan syarikat-syarikat asing mendakwa kerajaan negara tuan rumah melalui mekanisme timbang tara antarabangsa khusus yang kerap memberikan perlindungan yang melebihi apa yang terdapat di mahkamah-mahkamah domestik.
Penimbang tara boleh mengarahkan negara tuan rumah membayar berjuta-juta malah berbilion-bilion dolar kepada pelabur asing apabila tindakan kerajaan berkenaan menjejaskan keuntungan syarikat. Hakikat sesuatu tindakan itu telah diambil dengan niat yang baik dan demi kepentingan awam tidak boleh dijadikan alasan bagi sesebuah kerajaan yang menghadapi tuntutan ISDS.
Walaupun pentadbiran Obama berusaha meredakan kebimbangan tentang ISDS, namun keputusan kes Bilcon lwn. kerajaan Kanada telah menyerlahkan masalah-masalahnya yang sebenar dan berimplikasi serius terhadap sistem kehakiman sesebuah negara.
Pada 16 Jun 2015, kerajaan Kanada memfailkan permohonan bagi mengenepikan keputusan tersebut, atas alasan tribunal itu telah melampaui bidang kuasanya dan bercanggah dengan polisi awam di Kanada.
Berikut adalah fakta mengenai kes Bilcon: sebuah syarikat telah memohon untuk mengusahakan suatu projek perlombongan dan pangkalan laut di Kanada, tetapi perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak-pihak berkuasa peringkat daerah dan persekutuan. Sebagai sebahagian daripada prosesnya, syarikat tersebut perlu mengemukakan sebuah kajian tentang kesan terhadap persekitaran (EIS) yang membentangkan kesan yang mungkin ditinggalkan oleh projek itu terhadap alam sekitar dan manusia.
Sebuah panel pakar dilantik untuk menyemak EIS tersebut, mendapatkan pandangan orang awam dan kemudian mengeluarkan syor yang tidak mengikat iaitu sama ada projek itu patut diluluskan ataupun tidak. Akhirnya, panel pakar mengesyorkan projek tersebut tidak patut diteruskan, dengan mengatakan antara lainnya bahawa projek itu tidak menepati nilai-nilai teras masyarakat. Para pegawai peringkat persekutuan dan daerah seterusnya menolak projek berkenaan, berdasarkan syor ini.
Bilcon sepatutnya mematuhi prosedur dan merayu di mahkamah domestik Kanada agar keputusan tersebut diubah. Tetapi Bilcon menggunakan peluang memintas proses domestik itu dan sebaliknya mendakwa pula Kanada melalui proses ISDS di bawah NAFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara).
Strategi itu menghasilkan kejayaan. Kebanyakan penimbang tara berpendapat bahawa alasan panel penasihat mengenai nilai-nilai teras masyarakat telah melampaui bidang kuasa panel itu untuk menilai kesan terhadap persekitaran manusia dengan mengambil kira ekonomi, gaya hidup, amalan budaya, atau mutu hidup.
Para penimbang tara kemudiannya mengisytiharkan keputusan pihak kerajaan untuk menolak projek Bilcon yang dicadangkan itu berdasarkan syor para pakar adalah suatu kesalahan di bawah NAFTA. Pada hakikatnya, penimbang tara tersalah memahami piawaian undang-undang antarabangsa itu.
Pihak-pihak NAFTA, iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, semuanya berulang kali menjelaskan ISDS bukanlah badan rayuan kehakiman yang bersidang untuk membuat keputusan mengenai pentadbiran atau undang-undang domestik. Namun bagi kes Bilcon, kebanyakan penimbang tara hanya menanam tebu di bibir mengenai kedudukan negara-negara NAFTA. Implikasi sebenar yang berlaku adalah sebaliknya dan memberikan kesan besar terhadap sistem perundangan sesebuah negara.
Di dalam kes Bilcon, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Kanada. Di bawah ISDS, pihak-pihak kerajaan tidak boleh membantah keputusan penimbang tara meskipun bersalahan dengan undang-undang atau fakta. Pihak kerajaan, termasuklah para pembayar cukainya, kekal terikat dan terbelenggu oleh keputusan ISDS walaupun salah.
Tetapi mari kita renungkan sebentar, apakah terjadi seandainya keputusan penimbang tara itu betul, iaitu tindakan para pegawai menolak projek tersebut berdasarkan pemahaman mereka tentang undang-undang Kanada memang melanggar piawaian undang-undang antarabangsa NAFTA? Jika sedemikian keadaannya, maka ancaman ISDS terhadap sistem perundangan domestik dan demokratik lebih nyata dan berbahaya.
Tambahan pula, ini menunjukkan bahawa ISDS; mampu mencetuskan perubahan yang penting pada undang-undang domestik. Di sebalik dalih tribunal, pelanggaran undang-undang antarabangsa berlaku apabila pegawai kerajaan mentafsirkan konsep-konsep yang kabur, umpamanya kesan terhadap persekitaran manusia atau kesan sosioekonomi menggunakan prinsip atau istilah yang nyata tidak ada pada keputusan-keputusan sebelumnya.
Namun, khususnya seperti yang berlaku di beberapa negara termasuk Malaysia, undang-undang banyak tergubal melalui tafsiran baharu untuk menyesuaikannya dengan keadaan dan zaman yang kian berubah. Jika proses perkembangan ini sesungguhnya melanggar undang-undang antarabangsa, maka Malaysia akan berdepan dengan liabiliti besar kepada syarikat-syarikat asing, khususnya apabila ISDS dimasukkan ke dalam perjanjian-perjanjian baharu dengan negara-negara pengeksport modal.
Seperti yang diperkatakan oleh penimbang tara yang menyangkal dalam kes Bilcon, keputusan itu melambangkan suatu langkah berundur dalam perlindungan persekitaran. Tetapi walaupun salah, namun dengan implikasi keputusan itu maka tibalah masanya untuk mengakui sejujurnya ancaman ISDS terhadap penggubalan dan pelaksanaan undang-undang seperti yang kita ketahui menurut sistem domestik yang demokratik.
Malaysia harus mengambil iktibar daripada kes Bilcon ini dan mengelakkan sebarang perjanjian yang mengandungi fasal dan ISDS yang antara kesannya boleh membuka pintu kepada kemungkinan memberikan hak kepada pelabur asing untuk mengheret kerajaan kita ke mahkamah dalam tribunal timbang tara asing, apabila kerajaan kita mengenakan undang-undang baharu demi menambah baik kesejahteraan dan kebajikan rakyat Malaysia atas sebab kesihatan demi mempertahankan agama Islam selaku agama negara menurut Fasal 3(1), demi mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera dan hak-hak absah kaum lain menurut Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, melindungi persekitaran kita, demi meningkatkan piawaian kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja, dan demi menambah baik hak pekerja, termasuklah kadar gaji minimum yang lebih tinggi.
Malaysia tidak harus mengorbankan kedaulatannya dengan menandatangani apa-apa perjanjian yang membolehkan pelabur dan perniagaan asing mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di mana-mana mahkamah atau tribunal asing.
Sistem kehakiman Malaysia mestilah dihormati dan tidak digadaikan kepada sebarang mekanisme antarabangsa yang hanya mementingkan keuntungan pelabur asing semata-mata, lantas meruntuhkan asas-asas penting di dalam Perlembagaan Persekutuan.
0 comments:
Post a Comment