Bendera Palestin berkibar buat kali pertama di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini dan Presiden, Mahmoud Abbas menyifatkan pengibaran itu sebagai harapan untuk mencapai sebuah negara yang bebas.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Mahmoud mempengerusi bersama satu majlis selama 15 minit selepas pemimpin Palestin menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung badan dunia itu.
Mahmoud, 80, menyifatkan, pengibaran bendera tersebut sebagai 'detik harapan Palestin' walaupun pengiktirafan sedemikian mengundang kecaman daripada Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Dalam wawancara bersama portal The Huffington Post, beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menikmati detik bersejarah itu apabila bendera Palestin dinaikkan dan mencari pelan strategik bagi menamatkan penjajahan Israel, mendukung dasar hak asasi dan mencapai keadilan.
"Sudah tiba masanya untuk mencapai status negara bebas buat Palestin dengan menyelesaikan konflik Palestin-Israel secara aman.
"Saya meminta rundingan pelbagai hala diadakan kerana Palestin tidak boleh berunding secara langsung dengan Israel yang sering menghina keadilan dan menafikan kewujudan kami," kata beliau.
Beratus-ratus pemimpin dunia dijemput ke majlis bersejarah itu walaupun wakil Palestin ke PBB hanya memaklumkan sejumlah besar tetamu menghadiri acara berkenaan.
Palestin mencatat kejayaan itu pada 10 September lalu apabila PBB mengundi resolusi untuk membenarkan bendera Palestin dan Vatican, kedua-duanya memegang status negara pemerhati bukan anggota, dikibarkan bersama negara-negara anggota PBB.
30 September setiap tahun akan dijadikan hari bendera Palestin sedunia.
0 comments:
Post a Comment