Home » » Pilihan Raya Singapura 2015 : PAP Kuasai 83 daripada 89 Kerusi

Pilihan Raya Singapura 2015 : PAP Kuasai 83 daripada 89 Kerusi

Parti Tindakan Rakyat (PAP) selaku parti pemerintah di Singapura sejak 1959 langsung tidak berdepan sebarang 'kejutan' pada Pilihan Raya Umum 2015 negara itu, yang berakhir Jumaat lalu. Walaupun buat kali pertama dalam sejarah, PAP dicabar di semua kerusi ditandinginya sama ada di kawasan calon perseorangan (SMC) atau perwakilan kumpulan (GRC), parti itu tetap menjadi pilihan rakyat untuk menerima mandat kukuh.


Ketika lapan parti pembangkang termasuk Parti Pekerja (WP) menampilkan calon masing-masing untuk mencuba nasib di 89 kerusi Parlimen membabitkan 29 kawasan, kuasa rakyat akhirnya menentukan balawa PAP adalah pilihan mereka. PAP mencatat kejayaan d luar jangkaan apabila berjaya menguasai 83 kerusi Parlimen dengan menerima 69.9 peratus undi berbanding 60.4 peratus pada pilihan raya umum 2011.

Pada pilihan raya 2011, PAP menguasai kemenangan dengan menperoleh kejayaan di 81 daripada 87 kerusi Parlimem. Walaupun, dikatakan pelbagai isu yang timbul di republik itu seperti peningkatan kos sara hidup, perumahan dan kebanjiran pekerja asing mampu mengurangkan majoriti PAP, namun ia kekal sebagai 'cakap-cakap' dalam kalangan rakyat dan media sosial.

PAP mencatat kemenangan terbesar di GRC Jurong apabila calon parti itu yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Tharman Shanmugaratnam memperoleh 79.3 peratus undi mengatasi Parti Warga Diutamakan (SF) yang menerima 21 peratus undi.

Hsien Loong catat kejayaan

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang juga Setiausaha Agung PAP turut mencatat kejayaan di GRC Ang Mo Kio dengan menerima sebanyak 78.6 peratus undi menewaskan Parti Pembaharuan (RF). Calon Melayu mewakili PAP termasuk tiga muka baharu iaitu Rahayu Mazham (GRC Jurong), Saktiandi Supaat (GRC Bishen-Toa Payoh) dan Amrin Amin (GRC Sembawang) turut melakar kejayaan sekali gus mewakili suara Melayu di Parlimen.

WP, satu-satunya parti pembangkang yang terus mengekalkan kerusi GRC Aljunied yang dimenanginya pada 2011, namun pada kali ini mereka menerima 51 peratus undi berbanding 52.72 peratus sebelum ini. Parti itu juga mempertahankan kerusi SMC Hougang menerusi calonnya, Png Eng Huat yang dimenangi menerusi Pilihan Raya Kecil 2012, namun peratusan undi yang diterima kali ialah 58 peratus berbanding 62 peratus, sebelum ini.

Parti lain yang turut bertanding ialah Parti Rakyat Singapura (SPP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Hsien Loong pada sidang media selepas mencapai kemenangan, menyifatkan kemenangan PAP sebagai satu mandat yang jelas dan kukuh daripada warga Singapura. Beliau turut melahirkan penghargaan khusus kepada pengundi Melayu dan Islam di republik itu yang terus memberi sokongan kukuh kepada PAP dalam meneruskan kepemimpinan serta membawa pelbagai kemakmuran kepada rakyat.

Seorang pesara swasta, Kasmat Kaspid, 65, dari kawasan Bishan Toa Payoh, berkata kemajuan ekonomi dan pembangunan dikecapi rakyat Singapura hari ini adalah hasil usaha PAP sejak zaman kepemimpinan mendiang Lee Kuan Yew.

Sumbangan PAP besar

"Walaupun wujud perbezaan pendapat, saya melihat sumbangan PAP kepada rakyat dan Singapura amat besar dan tidak mengejutkan jika mereka mendapat sokongan padu daripada pengundi."

"Rakyat di negara ini boleh menilai sendiri apakah jasa serta sumbangan PAP kepada mereka berbanding pihak lain walaupun pelbagai orang mengemukakan pendapat masing-masing mengenai masa depan Singapura," katanya.

Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Kwah Hoon, 55, berkata rakyat Singapura mengenang jasa serta sumbangan PAP, seperti Barisan Nasional (BN) yang bawa pelbagai pembaharuan di Malaysia.

"Saya dapat melihat bagaimana Malaysia yang dipimpin BN dan kini Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Razak) sentiasa membawa pelbagai kebaikan kepada rakyatnya.

"Begitu juga di Singapura, Perdana Menteri (Hsien Loong) sentiasa mengutamakan rakyat serta mahu memimpin kerajaan dengan cemerlang untuk kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Ong Keng Yong, berkata langkah Hsien Loong mengadakan pilihan raya 16 bulan lebih awal dilihat sebagai tindakan yang bijak dan tepat pada masanya.

"Selain itu, ketika ekonomi global berada pada kedudukan tidak menentu, maka rakyat melihat adalah penting untuk menyokong sebuah kepemimpinan serta kerajaan yang kuat iaitu dengan memberi mandat kepada PAP selaku kerajaan berpengalaman," katanya.

Hari pengundian pilihan raya Singapura adalah pada hari Jumaat, 11 September 2015.

0 comments:

Post a Comment