Home » » EDISI BONGKAR: Nurul Izzah Tawar Kontrak Kerajaan Untuk Beli Data Di Curi Justo

EDISI BONGKAR: Nurul Izzah Tawar Kontrak Kerajaan Untuk Beli Data Di Curi Justo



Butiran siasatan kes membabitkan bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo, termasuk pengakuan bertulis yang dibuat atas kerelaan sendiri, mendedahkan Nurul Izzah Anwar berminat membeli data mengenai lMalaysia Development Berhad (lMDB) yang dicurinya pada tahun 2011.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bukan pembeli berpotensi dimahukan Justo, yang mengakui dikuasai sifat tamak ketika itu. Dia mahukan bayaran tunai berjumlah AS$2 juta (RM8.62 juta) bagi dokumen berkenaan.

Pengakuan itu menyebut, apabila Nurul Izzah menawar untuk membayar dalam bentuk kontrak yang bakal diperoleh sebaik pembangkang mengambil alih kuasa daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Justo tegas menolaknya.

Justo mendakwa Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, bertindak sebagai brokernya dan bertanggungjawab membawa Nurul Izzah ke dalam urusan itu.

"Sekitar September 2014, Clare menghubungi saya dan mengundang saya ke Bangkok. Dia berkata, anak perempuan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berminat membeli data itu.

"Saya menolak kerana Nurul mahu membayar AS$2 juta dalam bentuk kontrak kerajaan berikutnya apabila mereka berkuasa, bukannya tunai. Saya menolak kerana tidak melihat faedahnya," katanya.


New Straits Times (NST) menghubungi Nurul Izzah beberapa kali bagi mendapatkan maklum balasnya tetapi gagal. Mesej menerusi WhatsApp juga tidak dibalas. Dalam pengakuan kepada pihak berkuasa Thailand pada 26 Jun lalu, Justo mendakwa Rewcastle-Brown cuba mendekati beberapa pembeli termasuk kumpulan yang rapat dengan Anwar tetapi tidak berhasil. Rewcastle-Brown yang mendakwa Justo boleh meraih beberapa juta daripada penjualan dokumen itu, menghubungi Justo pada Februari lalu dan memberitahu dia bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, telah mengatur penjualan data yang dicuri itu kepada pemilik The Edge Media Group, Tong Kooi Ong, dengan pertemuan akan diatur dalam tempoh terdekat.

Nama Pua timbul beberapa kali dalam pengakuan bertulis Justo dan transkrip perbualan selama tiga bulan membabitkan Rewcastle-Brown, Justo, Kooi Ong dan Ho Kay Tat, yang dipercayai memulakan perbualan berkenaan.

Perbualan dikesan Thailand

Perbualan itu turut dikesan dalam siasatan pihak berkuasa Thailand membabitkan kes peras ugut Justo terhadap bekas majikannya.

Transkrip itu antara lain menunjukkan, ketika Kooi Ong dan Kay Tat melengah-lengahkan pembayaran AS$2 juta yang dijanjikan kepada Justo, Rewcastle-Brown memberitahu akan meminta Pua campur tangan.

Menurut transkrip berkenaan, pada 19 Mac, 8.12 pagi, Rewcastle-Brown dalam perbualan peribadi menerusi WhatsApp dengan Justo bagi membincangkan transaksi yang dilengahkan itu, berkata: "Saya akan berjumpa Tony Pua malam ini. Dia amat berpengaruh dalam komunitinya dan bertanggungjawab menarik saya masuk. Dia akan menjelaskan apa yang berlaku."

Dalam pengakuannya, Justo mendakwa persetujuan berhubung pembayaran itu dimungkiri berikutan sikap berdolak-dalik Kooi Ong dan Kay Tat.

Menurut butiran siasatan, Justo dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan 'Meet' pada 19 Mac, jam 7.12 pagi, menempelak Kay Tat: "Anda mengatakan anda tidak akan membayar saya menerusi bank seperti dipersetujui kerana anda rasa ia akan mendedahkan anda? Jika begitu, saya tidak mempunyai pilihan selain mendedahkan kebenaran."
Menurut transkrip itu lagi, Kay Tat antara lain dikatakan menjawab: "Itu mendedahkan kita dan menyukarkan kita untuk melakukan transaksi langsung, terutama di Abu Dhabi!!"

Justo dalam pengakuan yang dibuat dari penjara reman Bangkok, berkata mereka berempat menggunakan kod nama dalam kumpulan WhatsApp berkenaan. Justo adalah 'Fullerton', nama hotel di Singapura tempat beliau bertemu Kooi Ong dan rakannya bagi menyerahkan data yang dicuri dengan janji akan dibayar kemudian.

Rewcastle-Brown adalah Athene Ban (Hotel Athene Bangkok) kerana ia adalah lokasi kali pertama beliau menemui Justo. Justo mendakwa nama Ho Kay Tat dalam kumpulan itu merujuk kepada Kooi Ong dan Kay Tat kerana mereka menggunakan telefon Kay Tat untuk komunikasi bersama Rewcastle-Brown dan dirinya.

Sebelum Justo ditahan oleh pihak berkuasa Thailand, mereka yang berada dalam kumpulan itu bersetuju supaya Justo dibayar menerusi Rewcastle-Brown.

"Kooi Ong akan membayar AS$2 juta kepada Rewcastle-Brown di United Kingdom dan dia (Rewcastle-Brown) akan membayar saya sejumlah khusus setiap bulan sebagai yuran rundingan menerusi Sarawak Report yang dimilikinya.
"Dia mencadangkan saya membuka cawangan berita bagi wilayah Asia Tenggara dan dia akan membayar sebanyak AS$350,000 (RMl.5 juta), disusuli AS$1.25 juta (RM5.42 juta).

"Saya sedar dan mengakui cara ini menjurus kepada pengubahan wang haram. Bagaimanapun, saya tidak menerima sebarang bayaran."

Dalam dokumen penyiasatan itu, Justo mendakwa Rewcastle-Brown meminta peguamnya di United Kingdom membuat persediaan bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, Justo ditahan ketika menunggu bayarannya dilunaskan.

Justo dilaporkan berkata, tidak mengetahui sama ada Rewcastle-Brown mendapat bayarannya.

Warga Switzerland itu yang mengaku menyesali perbuatannya, mendakwa ada memberitahu Rewcastle-Brown bahawa tindakannya menjual maklumat itu melanggar perjanjian penyelesaian yang dipersetujui bersama PetroSaudi.
Bagaimanapun, Rewcastle-Brown dikatakan menjawab berpengalaman dalam mengendalikan maklumat yang dicuri tanpa diketahui sesiapa.

Mahu jatuhkan Najib

Dalam pengakuan bertulisnya, Justo turut mendakwa Rewcastle-Brown menolak untuk dibayar kerana menjadi brokernya, sambil berkata dia mahu menjatuhkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan "bayaran itu lebih daripada mencukupi."

Apabila NST menghubungi Pua menerusi telefon tengah hari semalam, dia meminta dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp.

Pua yang menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) bagi isu 1MDB, tidak menjawab soalan NST berhubung dakwaan pembabitannya atau sama ada dia mempertahankan kenyataannya sebelum ini iaitu tidak pernah mendengar mengenai Justo sehinggalah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada Jun lalu.

Butiran penyiasatan antara lain turut menunjukkan Kooi Ong dan Kay Tat tidak bersetuju dengan saluran pembayaran dicadangkan Justo, selain menegaskan berurusan dengan institusi kewangan terbabit akan mendedahkan mereka.
Mereka kemudian bersetuju bahawa Kooi Ong akan membeli kepentingan dalam Sarawak Report milik Rewcastle-Brown.

Sementara itu, pengurusan kanan The Edge Media Group, menafikan dakwaan mereka terbabit dalam konspirasi politik untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kooi Ong dan Kay Tat dalam satu kenyataan semalam, menegaskan baik mereka mahu pun The Edge Media Group tidak terbabit dalam sebarang konspirasi politik, selain tidak mempunyai agenda politik ketika menyiarkan artikel berhubung masalah dihadapi 1MDB.

0 comments:

Post a Comment