IBHH sebenarnya lebih suka jadi pembaca dan pemerhati polemik politik Malaysia hari ini. Gajah dengan gajah sedang bertembung. Siapa pun menang, siapa pun kalah bahana besarnya kepada negara dan khususnya kepada survival politik Melayu hari ini dan akan datang.
Memang sifat politik Melayu yang tidak akan pernah berhenti 'bunuh membunuh'. tak pernah sunyi, mesti mahu berbunyi itu dan ini, ada saja yang tidak puas hati, ramai juga yang iri hati, datang pula pendengki dan busuk hati tambah minyak dalam api. Politik Melayu memang begini? Politik Melayu bila mahu berhenti berkelahi?
Dalam sibuk Melayu kelahi siapa kuat, siapa betul, siapa pula yang akan rugi? Politik Melayu akhirnya nanti hanya tunggu siapa jadi abu siapa jadi arang bukan boleh semuanya menang-menang.
"Melayu Mudah Lupa" itu kata orang yang berkelahi, tak lebih seperti menepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Ini lah bukti Dilema Melayu, paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" ini juga bidalan dia yang berkelahi. Waktu ini, rakyat hanya terkebil-kebil ditelan GST, kita sibuk pertahan diri. Waktu ini Ringgit jatuh lagi, baguslah kumpul para ahli ekonomi daripada kumpul pemuda dan puteri.
"Antan dengan antan berlaga, ayam di tepi lesung yang kenyang" ini pula bidalan orang kampung. Tatkala politik Melayu tak henti berlaga, pastilah yang kenyang si parti lawan. Mereka di seberang hanya tunggu siapa 'mati' dulu.
Siang malam Melayu kelahi, air di Pulau Pinang naik lagi! tiada orang ambil peduli! Mereka senyum nampak gigi, rakyat juga tersepit dicelah jeriji.
Sampai dinihari Melayu masih kelahi, Sultan Melayu mereka tak hormati, diinjak-injak di bawah tapak kaki. Melayu tak peduli dan tak berani kerana ketuanya sedang kelahi. Rakyat dah berkerut dahi, tunggu masa mahu seligi.
Terbit lagi sang mentari, Melayu masih tak mahu berhenti kelahi. Mereka sudah ke pelusuk negeri tabur fitnah sana sini. Melayu ada tahu jawab tapi sibuk lawan sesama sendiri.
Mentari tegak di atas kepala, Melayu terus juga bercakar. Mereka hina agama, mereka persenda hukum, Melayu buat tak tahu sahaja.
Sejarah sudah ada bukti, Melayu hilang negeri kerana kelahi sesama sendiri. Tunggulah masa dan tikanya nanti Melayu akan kembali merempat mengemis di negerinya sendiri. Masa itu air mata darah sekalipun tidak akan jadi ganti.
Teruslah kelahi wahai bangsaku, teruskan.
0 comments:
Post a Comment