Home » , » Letupan Di Bukit Bintang: Bahana Tiadanya ISA

Letupan Di Bukit Bintang: Bahana Tiadanya ISA

Jam 4.30 pagi tadi Kuala Lumpur bergegar. Bergegar dek kerana sebuah kelab malam Cherry Blossom dibaling bom oleh suspek tidak dikenali disebabkan motif yang belum diketahui. Bukan bergegar kerana himpunan bantah GST di depan Parlimen semalam.

IBHH tidak mahu mengulas panjang insiden letupan itu kerana sudah banyak media sama ada media utama mahu pun media sosial melaporkan kejadian tersebut. Yang paling penting, biarlah polis menjalankan siasatan penuh ke atas insiden tersebut. Jangan pula kita menjadi detektif Conan yang selalunya lebih cerdik dari polis.

IBHH mahu mengajak kepada satu sudut pandang yang lebih rasional dan terbuka demi mengambil teladan dari insiden yang terjadi di Bukit Bintang tersebut.

Di Facebook, ada yang mengatakan bahawa Malaysia tidak lagi selamat, kadar jenayah meningkat mendadak sejak tahun kebelakangan ini. 

Pada hemat IBHH inilah padahnya, inilah bahananya apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dimansuhkan. Inilah akibatnya apabila rakyat meminta sesuatu yang mereka sendiri tidak fahami kegunaannya.

Pada waktu ISA dituntut untuk dimansuhkan, IBHH masih ingat lagi apabila IBHH bertanya pada seorang rakan mahasiswa apakah keperluan ISA dimansuhkan? Jawapannya adalah kerana ISA mengongkong rakyat bersuara, ISA dijadikan alat untuk membunuh karier politik seseorang yang tidak menyokong kerajaan. ISA adalah akta kuku besi dan pelbagai jawapan lagi yang menjurus kearah pemikiran 'matang' berpolitik.

Ditanya lagi IBHH kepada seorang lagi mahasiswi yang kerap turun demontrasi membantah ISA, apakah beliau yakin Malaysia akan lebih aman jika tiada ISA. Panjang juga jawapannya, tetapi bolehlah IBHH menyatakan mahasiswi tadi menjawab menjurus ke arah "Ya, saya yakin Malaysia akan lebih aman tanpa ISA".

Tetapi, hari demi hari selepas tiadanya ISA. Malaysia tidak lagi aman. Sudah semakin ramai yang menggunakan undang-undang sendiri.

Bukan juga IBHH mengatakan bahawa ISA sahaja penentu keamanan negara. Ada banyak faktor lain, tetapi harus di ingat! Faktor peranan ISA sangat penting kepada negara.

Ramai kita yang hanya faham dan tahu ISA diguna pakai ke atas ahli politik semata-mata, kerana mereka yang pernah merasai ISA ini apabila keluar akan menjerit melolong di jalanan menyatakan betapa seksanya mereka di dalam tahanan ISA di Kem Kamunting. Itulah dinamakan politikus!

Ramai juga yang tidak menyedari bahawa peranan ISA adalah lebih luas dari yang diketahui dan difahami. ISA membenarkan pihak berkuasa iaitu polis menangkap seseorang yang dicurigai melakukan sebarang aktiviti subversif, walaupun seseorang itu belum melakukan sebarang jenayah subversif (fahamilah makna Subversif).

Maka antara individu yang diketahui melakukan aktiviti subversif adalah dikalangan ahli kumpulan kongsi gelap. Mereka berusaha menyeludup senjata api, mereka berusaha menyimpan senjata seperti pedang dan parang, mereka berusaha melatih anak-anak buah yang berani mati. Mereka berusaha ini semua demi mendapatkan kawasan jajahan tertentu dan menentukan kuat lemah pasukan kongsi gelap mereka.

Maka ramai yang tidak menyedari, bukanlah mudah menangkap dan mendakwa seseorang yang diketahui oleh polis terlibat dengan kongsi gelap dan jenayah terancang. Kalaupun berjaya ditangkap, tetapi banyak pendakwaan boleh gagal kerana undang-undang mahkamah sangat mementingkan bukti sahih dan nyata selain daripada perkara teknikal. Kebanyakan penjenayah terlepas kerana faktor teknikal. 

Jika kita fahami proses perundangan ini pastilah kita akan mengetahui dan menyedari pentingnya ISA.

Cuba kita lihat senario kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim ke atas Saiful Bahari. Dato Seri Anwar Ibrahim terlepas dari hukuman semasa perbicaraan di mahkamah majistret. Dalam keputusan mahkamah tersebut, hakim menyebut lebih kurang begini, "Mahkamah tidak menolak berlaku penetrasi ke atas plaintif (Saiful) tetapi mahkamah tidak mahu bergantung semata - mata ke atas bukti DNA air mani" maka fahamlah kita, memang berlaku liwat tetapi mahkamah tidak mahu bergantung pada bukti air mani kerana peguam bela berjaya menimbulkan keraguan berlakunya pencemaran ke atas bukti sampel air mani tersebut. (sesiapa yang mempunyai link bagi kes ini boleh sertakan di komen)

Maka terlepaslah DSAI sedangkan Saiful benar-benar diliwat.

Maka itulah serba ringkas proses undang-undang lawan cakap antara peguam siapa yang lebih hebat maka dialah akan menang kes. 

Maka ISA diperlukan untuk mengurung sementara bagi mengekang penularan aktiviti subversif. Dalam tempoh tahanan tersebut pihak polis juga boleh mendapatkan maklumat rangkaian penglibatan sesuatu aktiviti subversif. 

ISA juga sebenarnya boleh menjadi penyelamat kepada seseorang individu warganegara Malaysia. Misalnya satu ketika dahulu, salah seorang anak Tuan Guru Nik Aziz iaitu Nik Adli diragui terlibat dengan rangkaian militan Al-Qaeda dan namanya telah disenaraihitamkan oleh agensi perisikan antarabangsa maka pihak polis dengan segera menangkap dan  mengurung Nik Adli dibawah peruntukan ISA. Bayangkan, jika polis antarabangsa menangkap Nik Adli dan disumbat ke Teluk Guantonamo. Apakah nasib beliau sekarang? Entahkan Nik Aziz mampu membawanya pulang dengan selamat. Mujurlah ISA ada pada waktu tersebut.

Maka tidak hairanlah, selepas ISA dimansuhkan maka polis juga terpaksa melepaskan sekian ramai penjenayah kolar putih dan ketua kongsi gelap yang tidak pernah diisytiharkan berapa ramai. 

Maka hari ini, terbuktilah jenayah yang berlaku hari ini yang melibatkan senjata api dan bom seperti di Bukit Bintang adalah bahana dari pemansuhan ISA. 

Jenayah rompakan bank oleh orang asing seperti geng Albataross juga semakin sukar di bendung kerana pada ketika mereka masuk ke negara ini, mereka belum melakukan jenayah tetapi mereka boleh disyaki berdasarkan maklumat perisikan antarabangsa. Mereka tidak boleh terus ditahan, mereka hanya boleh ditahan setelah jenayah dilakukan itu pun jika cukup bukti barulah mereka boleh di dakwa. Hakikatnya, setelah jenayah dilakukan mereka sudah pun ghaib hilang tanpa jejak!

Nasi sudah jadi bubur, ISA tiada lagi, pandai-pandailah jaga diri.
     

0 comments:

Post a Comment