Berikutan prestasi hambar skuad hoki negara dalam Sukan Komanwel Glasgow baru - baru ini, jurulatih hoki negara sedia menerima sebarang bentuk hukuman oleh Konfederasi Hoki Malaysia.
"Ini bukan tentang diri saya tetapi masa depan skuad hoki kebangsaan.
"Saya harap pemain dapat memberi komitmen penuh di bawah jurulatih baharu."
Itu kenyataan ringkas Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas menerima hukuman yang sudah dijangkakan apabila direhatkan sebagai jurulatih hoki kebangsaan.
Semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bertindak merehatkan pengendali berusia 45 tahun itu ekoran aksi hambar yang ditunjukkan skuad negara.
Malah, Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menegaskan, seluruh pasukan berdepan risiko dihukum seandainya terus mempamer aksi tidak meyakinkan.
Bagi Dharma, tiada sedikit pun dendam dalam dirinya atas apa yang berlaku, sebaliknya beliau mengucapkan terima kasih kepada peluang yang diberi MHC selama ini.
"Saya ingin berterima kasih kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana memberi peluang kepada saya pada empat kejohanan (Piala Sultan Azlan Shah, Cabaran Juara-Juara 1, Piala Dunia dan Sukan Komanwel).
"Begitu juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong," katanya lagi.
Biarpun hanya 'direhatkan', namun Dharma dilihat tidak lagi mempunyai masa depan bersama skuad kebangsaan selepas MHC mengakui sedang mencari jurulatih asing.
Tengku Abdullah berkata, tempat Dharma akan digantikan oleh pengendali skuad remaja kebangsaan, Arul Selvaraj selaku jurulatih sementara untuk menghadapi Sukan Asia. Dia akan dibantu oleh Tai Beng Hai yang bertindak sebagai pengurus.
"Semua kini terpulang ke atas pemain. Jika mereka terus dengan sikap yang tidak positif saya ingat ada kemungkinan kita tidak akan hantar pasukan ke Sukan Asia.
"Pemain perlu bangkit dengan segera. Kalau ada yang bersikap sambil lewa maka saya sedia membuat keputusan drastik.
"Dalam keadaan ketika ini Arul akan memilih pemain yang dikehendaki.
"Ini adalah cabaran buat Arul untuk membimbing skuad kebangsaan dan cabaran sentiasa ada bagi semua jurulatih," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Dharma berdepan situasi sukar sepanjang membimbing skuad kebangsaan apabila gagal merealisasikan sasaran tempat ke-10 pada Piala Dunia di Belanda, Mei lalu.
Skuad kebangsaan juga gagal mempamer aksi menarik pada Sukan Komanwel di Glasgow, termasuk diaibkan Trinidad & Tobago 2-4.
Tengku Abdullah menambah, keputusan dibuat tanpa sentimen bersifat keperibadian.
"Saya juga berterima kasih kepada Muhammad Dharma atas sumbangannya selama ini," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment