Home » » Seni Bina Rumah Melayu Juga Bersendikan Syarak

Seni Bina Rumah Melayu Juga Bersendikan Syarak

Sejak kedatangan Islam ke alam Melayu, orang kita dulu-dulu sentiasa mengadatkan ajaran Islam dalam apa jua gerak harian, termasuklah persekitarannya, seperti rumah sebagai misalan.

Rumah Melayu dulu-dulu dibina mengikut TAFSIRAN Kitabullah dan Sunnah. Antaranya, kedudukan arah rumah berorientasikan timur-barat serta menghadap kiblat. Disediakan juga ruang solat termasuk bilik istirehat tetamu. Manakala, hal arah kiblat pastilah tidak menjadi masalah buat tetamu. 

Pembahagian ruang dan kedudukannya turut menepati kehendak sosial Islam. Antaranya, setiap rumah Melayu dibina dengan usaha meraikan tetamu dengan semulia-mulianya. Ruang untuk tetamu bertandang di bahagian serambi, itu letaknya di bahagian depan rumah.

Ruang untuk kaum perempuan letaknya di dapur (di belakang rumah) dan ia 'ekslusif' serta tersorok daripada pandangan bukan muhrim. Dengan kedudukan ini (serambi di depan, dapur di belakang), kaum wanita terlindung daripada pandangan tetamu-tetamu bukan muhrim. Untuk mengupas hal pengasingan ini saja, terlalu panjang untuk dihuraikan - maka cukuplah sekadar ringkasan ini.

Bilik tidur pula dibina khusus dan sebolehnya dicukupkan untuk pengasingan jantina. Jadi, pemandangan sulit dan seksi dapat dihijab.

Tandas, atau jamban dibina luar daripada rumah. Tempat najis ini kotor, 'tempat syaitan bertandang' dan dibina tidak menghadap kiblat. Tempat mandi TIDAK dibuat sekali dengan jamban. Ia juga diasingkan antara keduanya. Kenapa? Mandi Melayu kita pun ada adat bersendikan syariat - ada wiridnya, doanya, amalan istinjaknya, wudhu'nya - maka penyucian ini haruslah di tempat yg suci juga.

Untuk membina rumah juga ada amalannya, dengan doa dan zikir. Untuk memilih lokasinya pun ada tenungan syariat, tarikat, hakikat dan makrifatnya. Sebermulanya niat hendak berumah, hinggalah sampai akhir hayat, perihal rumah Melayu ini tidak putus-putus dengan manifestasi Islam.

Ukiran rumah, bukan dibuat sekadar nilai estetika, tetapi membawa maksud manifestasi Islam, khususnya berkenaan kefahaman Tauhid dan Tassawuf. Misalnya ukiran bermotif Awan Larat yg Berkepala Kala dibuat dengan maksud falsafah ketuhanan. Ukiran ini membawa simbol kejadian alam, ada permulaan tarikh kelahiran dan ada akhir seperti kematian, berlainan dengan Allah Taala yang sedia dan kekal selamanya (Qidam dan Baqa').

Atau satu contoh lagi daripada begitu banyaknya ukiran - Awan Larat Beribu, selalunya mengambil elemen bunga bagi menyimbolkan adanya kejadian yang tidak dapat dikesan tarikh kewujudannya seperti langit, bumi, bulan, matahari, akhirat, neraka, sungai, luh mahfuz dan alam barzah. Kesemua alam ini tetap bersifat baharu kerana ia dijadikan bukan terjadi sendiri. Yang menjadikan alam adalah Allah.

Dan ukiran Awan Larat ini hanya diletakkan di tempat tinggi (seperti di bumbung anjung).

Banyak lagi adat rumah yg bersendikan Islam ini. Hendak menetap rumah pun kita ada adat - kenduri kesyukuran, atau doa selamat, atau majlis-majlis tertentu, yang kesemuanya didorongi rasa ingin mengamalkan setiap sesuatu perkara dengan niat beragama. Tempayan untuk basuh kaki sebelum naik rumah, limpahan sinaran Dhuha (kedudukan timur-barat), laman rumah, falsafah pokok-pokok yg ditanam dan banyak lagi.

'Biar mati anak, jangan mati adat" - fahamilah apa erti adat itu

0 comments:

Post a Comment