Home » » Muzakarah UMNO ~ PAS : Berdirilah Atas Titik Islam

Muzakarah UMNO ~ PAS : Berdirilah Atas Titik Islam

Muzakarah antara UMNO dan PAS sudah saban tahun diperkatakan. Setiap kali itulah ia belum pernah menjadi kenyataan.

Pada hemat saya, kedua - dua pihak belum cukup bersungguh - sungguh, belum cukup ikhlas dan juga acapkali melihat kepentingan politik partisan berbanding kepentingan Islam~Melayu sejagat.

Sebagai seorang rakyat berbangsa Melayu beragama Islam pastilah terdetik kegembiraan itu apabila mendengar usaha untuk mempertautkan kembali hubungan umat Islam~Melayu yang telah sekian lama bercakaran akibat pertembungan kepentingan dua kelompok utama politik Melayu Islam. Ia sebenarnya sudah lama merugikan umat Islam Melayu di Malaysia. Saya percaya bahawa situasi ini sangat disedari oleh kepimpinan kedua-dua pihak.


Sekali lagi, dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS baru-baru ini, Presiden PAS Dato Seri Hj Hadi Awang telah menyatakan kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan UMNO atas kepentingan Islam.

"Pas bersedia untuk bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha pelaksanaan Islam. Media, siarkanlah perkara ini. InsyaAllah ulama-ulama kita akan turun. Kita ramai ahli-ahli (pelbagai bidang), dia (UMNO) hendak yang tua pun ada, muda pun ada."

Manakala Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam, UMNO bersikap terbuka berhubung hasrat Pas bermuzakarah dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan umat Islam. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, UMNO perlu meminta penjelasan lanjut daripada Pas berhubung skop muzakarah yang mahu dilaksanakan. 

"Saya akan berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yaakob) tidak lama lagi sebab beliau sudah minta untuk berjumpa saya mengenai perkara ini (muzakarah)," katanya.


Pagi ini, 28 Nov 2013 saya telah menerima kiriman gambar pertemuan Dato' Seri Najib Tun Razak dengan Dato Ahmad Yaakob. Pastilah ini akan memberi gambaran positif kepada umat Islam untuk mendengar perkhabaran baik agar kedua-dua pihak yang mewakili orang Melayu Islam di negara ini mencapai kata sepakat demi mempertahankan Agama, Bangsa & Tanahair. Sesungguhnya perjuangan ALIF BA TA ini adalah tanggungjawab kita bersama. 

Pesanan kami rakyat adalah satu, carilah TITIK PERSAMAAN atas nama kepentingan Islam dan umat keseluruhannya. singkirkanlah perbezaan fahaman politik. Cukup - cukup sudah, Cukup sampai disini sahaja perpecahan Melayu Islam Malaysia. Ayuh seluruh orang Melayu Islam kita doakan muzakarah ini mencapai kejayaan. Tiadalah lain harapan kami hanya mahu mempertahankan Agama,Bangsa & Tanahair tercinta ini. Ingatlah, musuh akan sentiasa mencemburui kita, mereka berani apabila kita lemah. In sha Allah kita capai kejayaan bersama.

0 comments:

Post a Comment